Sunday 20 November 2011

Kecederaan Dalam Sukan

Dengan semangat kesukanan bolasepak SEA Games 2011 di Palembang, didapati ramai pemain Malaysia yang mengalami kecederaan. Sama ada ianya realiti atau lakonan sukar untuk ditafsirkan dari riak wajah dan reaksi kesakitan mereka. Terlintas pula untuk berkongsi apa itu kecederaan sukan atau sport injury

 
Pada dasarnya kecederaan sukan merujuk kepada kecederaan yang berlaku semasa bersukan atau bersenam. Bila sebut nama kecederaan sukan, bukan bermaksud untuk mereka yang bermain sukan sahaja, anda yang bersenam di rumah pun jika berlaku kecederaan dimasukkan dalam kategori yang sama. Kenapa berlaku kecederaan? Mungkin disebabkan kemalangan ketika bersukan, teknik latihan atau amalan harian yang tidak betul, kejutan pada otot dan sebagainya.

Kecederaan dalam sukan dikategorikan kepada beberapa jenis antaranya:

  • Sprain dan strain
Sprain merupakan kecederaan pada ligamen. Ligamen adalah tisu yang menghubungkan tulang ke tulang. Strain mungkin terjadi disebabkan jatuh, perlanggaran badan dan sebagainya. Sprain dibahagikan kepada tiga peringkat. Peringkat ketiga, ligamen putus sepenuhnya. Apa tanda-tandanya? Sakit, lebam, keradangan, bengkak, ketidakupayaan menggerakkan anggota badan, sendi yang longgar, laxity (kelenturan sendi berlebihan), ketidakstabilan. Antara kecederaan ligamen yang biasa didengari seperti anterior cruciate ligament (ACL) di lutut. Untuk pengetahuan anda, banyak kes ACL bukan disebabkan bersukan atau senaman sahaja, tetapi kes seperti, apabila seseorang ini dipanggil daripada belakang, secara spontan dia memusingkan badan dan kepalanya untuk menyahut. Dalam masa yang sama dia terlupa bahawa kakinya masih melekat di tempat yang sama dan menyebabkan kecederaan pada ligamen lututnya.

Strain merupakan kecederaan pada otot atau tendon. Tendon adalah tisu yang menghubungkan tulang dengan otot. Tanda-tanda yang biasa seperti kesakitan, kekejangan otot, kehilangan kekuatan. Agak sukar membezakan strain biasa dan yang teruk kerana kesakitannya hampir sama. Strain biasa berlaku apabila bersenam dimana seseorang mungkin menggunakan beban yang tidak sepatutnya, berlatih dalam keadaan tidak cukup rehat, menggunakan teknik yang salah dan sebagainya.

  • Kecederaan Biasa
Antara kecederaan biasa berlaku disebabkan teknik senaman yang tidak betul seperti kecederaan di lutut, di pinggang dan di rotator cuff. Kecederaan biasa di bahagian lutut seperti iliotibial band sysndrome, tendinitis dan tendinosis. Manakala di pinggang slip disc dan kecederaan yang menyebabkan tarikan otot-otot lain, kebiasaannya melibatkan otot psoas major. Apa itu rotator cuff? Rotator cuff adalah terdiri daripada 4 otot di bahagian bahu iaitu otot supraspinatus, infraspinatus, teres minor dan subscapularis. Kebiasaannya bagi mereka yang meminati sukan seperti badminton, tenis, bowling dan seumpamanya amat cenderung kepada kecederaan ini.

  • Shin Splint
Istilah shin splint merujuk pada kesakitan di sepanjang tulang tibia, tulang besar di hadapan kaki. Kesakitan juga mungkin berlaku di bahagian yang lebih rendah termasuk buku lali (anterior shin splint) atau di pinggir tulang (medial shin splint). Pernahkah anda berlari atau joging untuk satu jangka masa yang lama, mungkin berminggu-minggu dan mula rasa sakit dibahagian hadapan tulang kaki? Biasanya shin splint disebabkan penggunaan berlebihan, penggunaan kasut yang salah, permukaan yang keras atau teknik latihan yang tidak betul. Kecederaan ini sering dikaitkan dengan mereka yang memiliki tapak kaki yang rata. Tahukah anda bahawa tidak semua orang memiliki tapak kaki yang sama?


  • Kecederaan Lain
Kecederaan lain yang agak biasa dimana mungkin anda pernah mengalaminya adalah sakit di bahagian tapak kaki atau tumit ketika berdiri. Ini adalah disebabkan berat badan berlebihan. Berat badan berlebihan terutama di perut juga biasa dikaitkan dengan sakit pinggang dan lutut. Kecederaan lain seperti keretakan tulang, dislocate dan sebagainya.

Semoga dengan tips dan ilmu yang telah kita ketahui ini dapatlah kita berwaspada dan  lebih peka terhadap keselamatan diri kita.
Pelbagai tips dan maklumat lanjut di sini:



1 comment:

  1. salam., ad info lengkap pasal keederaan dalaman x?.,

    ReplyDelete